Monday, December 6, 2010

Ucapan Penangguhan Sivarajan dalam Mesyuarat Majlis Penuh 26hb November, 2010

UCAPAN PENANGGUHAN –SIVARAJAN ARUMUGAM, AHLI MAJLIS –

MESYUARAT MAJLIS PENUH 26 NOVEMBER, 2010.

Selamat pagi kepada YBhg Datuk Bandar, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah Jabatan dan pihak pengurusan MBSA. Perkara yang ingin bangkitkan dalam ucapan saya ialah mengenai isu pengangkutan awam di Shah Alam.

Walaupun penyediaan kemudahan pengangkutan awam bukanlah suatu tugas langsung pihak majlis, tetapi pihak Majlis Bandaraya memainkan peranan penting dalam mengatur kemudahan asas ini kepada penduduk. Sebagai perancang Bandar dan pengawal pembangunan bandaraya, maka PBT memainkan peranan penting sebagai pengantara yang dapat membawa bersama pihak penguasa bas swasta seperti Rapid KL, Prasarana, pemaju perumahan dan juga Lembaga Perlesenan Kenderaan Perniagaan.

Jika kita imbas zaman dulu iaitu pada tahun 1960 an, PBT lah yang telah memainkan peranan utama untuk menyediakan kemudahan bas dan pengangkutan awam untuk rakyat .

Kini kita menerima banyak rungutan daripada rakyat kerana perkhidmatan bas yang tidak memuaskan ke taman-taman perumahan. Pihak pemaju pula, lebih berminat memajukan perumahan untuk dijual tanpa mengambil kira samaada terdapat kemudahan sistem pengangkutan bas yang melalui kawasan perumahan tersebut. Akibatnya pembeli rumah terpaksa mengunakan pengangkutan mereka sendiri untuk berulang alik daripada rumah mereka.

Justeru itu kesesakan jalanraya berlaku dimerata tempat dan aduan tersebut akan juga kembali kepada PBT untuk diselesaikan. Orang ramai juga akan mengecam kita kerana membuat perancangan pembangunan yang tidak mengambil kira isu kemudahan pengangkutan awam.

Justeru itu PBT haruslah peka kepada pembangunan menyeluruh Shah Alam. Kita harus bergerak kearah menambahkan peratus pengunaan pengangkutan awam dikalangan rakyat Shah Alam . Secara tidak langsung ianya akan mengurangkan keperluan pelebaran jalanraya, pembinaan jalan baru dan juga memberikan impak positif terhadap alam sekitar kita.

Demi membolehkan MBSA memainkan peranan pengantara ini haruslah diwujudkan suatu unit atau bahagian Perkhidmatan Pengangkutan Awam di Majlis . Unit tersebut akan membolehkan pihak majlis mengkoordinasi perancangan pembangunan, kepadatan penduduk dan juga kemudahan bas awam yang diperlukan. Dengan perbincangan bersama pengusaha bas awam maka keperluan laluan bas ke taman perumahan yang baru dan juga pembinaan perhentian bas juga dapat diselaraskan .

Saya juga difahamkan perkara tersebut juga dirancangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor demi mengatasi masalah pengangkutan awam di Selangor. Saya juga menyarankan agar faktor kemudahan pengangkutan awam juga harus diambil kira dalam mesyuarat OSC semasa sesuatu kawasan pembangunan yang baru diluluskan oleh Majlis .

Sekian , terima kasih .

Sivarajan Arumugam

Ahli Majlis

No comments:

Post a Comment